Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi

Monday, 5 March 2012

Solat dan Khusyuk

Antara ibadah yang penting yang wajib dilakukan ialah solat. Ia amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun solat tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”

Dalam surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”

Justeru, untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.


Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat
Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”

Apakah Maksud Khusyuk?
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.

Justeru khusyuk di dalam solat adalah penting. Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata, “Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”

Cara Untuk Khusyuk
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.

Untuk membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah kiasannya dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.

Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”
Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.

Faedah-Faedah Solat
Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”

Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.

Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.

Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.

Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien dalam setiap pekerjaan.

Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunah..” Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”
Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaku.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi, solat diumpamakan seperti kekasih hati.  Dalam sebuah riwayat oleh Imam An-Nasai, nabi bersabda, “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.”

Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment